Main Menu
 
 

  Makkah al-Mukarramah

Secebis kisah dan sejarah

Masjidil Haram

            Makkah (ataupun Mekah dengan nama penuhnya Makkah al-Mukarramah;  terletak lebih kurang 73km daripada timur Jeddah, ibu kota Arab Saudi. Makkah merupakan tempat lahirnya Islam dan Nabi Muhammad s.a.w. dan juga tempat baginda menerima wahyu daripada Allah s.w.t.

Makkah ialah kota paling suci bagi umat Islam. Lima kali sehari, lebih kurang 1.5 bilion muslim tak kira di mana mereka berada, pasti akan menghadap Kota Makkah untuk bersembahyang. Sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup seseorang Muslim akan mengerjakan haji pada bulan Zulhijjah setiap tahun.

Sejarah Makkah bermula apabila Nabi Ibrahim a.s. menerima perintah daripada Allah s.w.t. supaya meninggalkan anaknya Nabi Ismail a.s. dan isterinya Siti Hajar di sebuah gurun yang kering kontang. Selepas Nabi Ibrahim a.s. meninggalkan isteri dan anaknya itu di sebuah gurun beliau kembali ke tempat asalnya.

Apabila air yang dibawa oleh Siti Hajar habis, Nabi Ismail a.s. yang ketika itu masih lagi seorang bayi mula menangis meminta susu. Siti Hajar yang mula gelisah mula mencari air di antara Al Safa, daripada Abi Qubais hinggalah ke Al Marwa. Dalam suasana yang kelam kabut itu Nabi Ismail a.s. yang sedang menangis, menghentakkan kakinya di atas tanah. Dengan izin Allah s.w.t., air keluar daripada tanah yang dihentak Nabi Ismail a.s. tadi. Sebuah telaga dibina kemudian dan dikenali sebagai Telaga Zamzam. Akibat daripada peristiwa tadi maka selamatlah Siti Hajar dan anaknya.

Dengan kemunculan Telaga Zamzam itu, pedagang-pedagang dan kabilah-kabilah perdagangan mula muncul. Mereka mula tinggal di situ dan membuka penempatan baru. Dengan itu terlahirlah Kota Makkah. Nabi Ibrahim a.s. melawat tempat di mana dia meninggalkan anak dan isterinya tadi. Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. kemudiannya membina Kaabah.

Pada tahun kelahiran Nabi Muhammad s.a.w., Makkah hendak diserang oleh tentera Abrahah yang cemburu dengan kemajuan Makkah sebagai pusat keagamaan Semenanjung Arab. Mujur dengan kuasa Allah s.w.t., tentera Abrahah ditewaskan. Tahun kejadian itu digelar Tahun Gajah.

Makkah juga merupakan tanah kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.. Nabi Muhammad s.a.w. hidup di kalangan masyarakat yang menyembah berhala tetapi Nabi Muhammad s.a.w. tetap tidak lupa akan ajaran Nabi Ibrahim a.s.

Satu hari sewaktu Rasulullah s.a.w. (berumur 40 tahun) sedang berada di dalam sebuah gua yang bernama Gua Hira, baginda didatangi oleh Malaikat Jibril yang menyampaikan wahyu daripada Allah s.w.t. Wahyu itu memerintahkan supaya Nabi Muhammad s.a.w. menyampaikan ajaran Islam kepada seluruh penduduk Makkah. Nabi Muhammad s.a.w. menyampaikan ajaran Islam kepada penduduk Makkah tetapi kebanyakkan mereka menentangnya. Rasulullah s.a.w. kemudiannya berhijrah ke Madinah pada tahun 622 masihi.

Ajaran Islam kemudiannya berkembang ke seluruh Semenanjung Arab. Nabi Muhammad s.a.w. kemudiannya kembali ke Makkah pada tahun 628 masihi bersama-sama ribuan pengikut baginda. Mereka memasuki Makkah tanpa mengalirkan darah. Penduduk Makkah akhirnya menganuti ajaran Islam dan ini menjadikan Makkah pusat perkembangan Islam.

Kaabah

Menurut tradisi Islam, Kaabah dibina semula 12 kali. Para akademik dan sejarahwan berkata Kaabah dibina semula antara lima hingga 12 kali. Pembinaan pertama Kaabah dilakukan oleh Nabi Adam (as). Allah SWT menyatakan dalam al-Quran Kaabah adalah rumah pertama dibina untuk manusia menyembah Allah SWT. Selepas itu, Nabi Ibrahim (as) dan Nabi Ismail (as) membina semula Kaabah.

Lebar ukuran Kaabah diasaskan oleh Ibrahim adalah seperti berikut: " Dinding Timur adalah 48 kaki dan 6 inci " Dinding Hatim adalah 33 kaki " Dinding antara Hajar Aswad dan sudut Yamani adalah 30 kaki " Dinding Barat adalah 46.5 kaki Selepas ini berlaku beberapa pembinaan semula sebelum masa Rasulullah (SAW). Pembinaan semula Kaabah oleh kaum Quraish Rasulullah mengambil bahagian dalam salah satu daripada pembinaan semula ini sebelum baginda menjadi Rasul.

Selepas satu banjir kilat, Kaabah mengalami  kerosakan dan dindingnya retak. Ia perlu dibina semula. Tugas ini dibahagikan antara empat puak Quraish. Rasulullah turut membantu dalam usaha pembinaan semula ini. Setelah dinding-dindingnya dibina semula, tiba masanya batu hajar aswad diletak semula di tempatnya di dinding Timur Kaabah.

Pertelingkahan berlaku apabila tiba masa untuk menentukan siapa mendapat penghormatan meletakkan batu Hajar Aswad itu. Apabila pertelingkahan hampir bertukar menjadi pergaduhan, Abu Umayyah, penduduk tertua Makkah, mencadangkan agar lelaki pertama yang memasuki pagar masjid pagi keesokkannya akan menentukan perkara berkenaan.

Lelaki itu ialah Rasulullah. Penduduk Makkah bergembira. "Ia adalah al-Amin. Ia adalah Muhammad," jerit mereka. Baginda menghampiri mereka lalu mereka memintanya supaya memutuskan perkara itu. Baginda bersetuju.

Rasulullah mencadangkan agar batu hitam itu diletak di atas sehelai kain, setiap bucu kain dipegang oleh seorang pemimpin puak. Kain itu diangkat ke tempat batu itu hendak diletak. Rasulullah kemudian mengambil batu itu dan meletakkannya di tempatnya di dinding Kaabah.

Copyright 2008 YHA Travel & Tours (M) Sdn Bhd




Powered By C-Flex